Ini adalah jalan.. Jalan Makrifah Sayyid Hidayatullah.. Menggerbangkan semarak Cinta.. Ke pintu Tuhan Yang Maha Esa.. Bersimpuh dalam kesatuan Wujud.. Bertatap wajah yang tanpa bersilih.. Selama hadir ke dunia harapan masih.. Menjunjung Cinta, Kasih dan Sayang Yang Maha Pengasih.. ~ Sayyid Hidayatullah @ Anak Jawi ~

Jumaat, 10 Disember 2010

~ LANTUNAN MUNAJAT ~

TUHAN..
Hamba bersujud di dada malam
Berbekal Dzikir Cinta yang dalam
Mengharap redha-MU memperkenan ku datang
Dengan airmata berlinangkan rindu
Munajat ini hanya dari-MU bersama-MU kepada-MU
Dakaplah hamba dengan Cinta Kasih-MU

TUHAN..
Bila Roh dan Cinta ku kembali menyatu
Genang air mata jernih ibarat mata air dari gunung
Mengalir tanpa henti menuju samudera
Membentuk gelora Cinta yang tak terupa
Memukul pantai hati ku yang penuh kerinduan
Meratap dalam tangisan bahagia
Saat ENGKAU membuka tirai hijab di dada

TUHAN..
Hamba datang sebagaimana ENGKAU datang
Dalam sentuhan asyik membelai jiwa rohani
Menyapa Sama' dan Basyar
Yang terupa dalam Kalam Cinta-MU
Hanya-MU ya Rabbul alamin
Hanya-MU ya Allahu Dzatti

TUHAN..
Ku sedar bahawa Cinta bukan terbataskan tubuh
Merata-rata menyatu seluruh cakrawala
Yang disentuh air hidup sekalian alam
Pada rahsia Qidam dan Baqa
Menyimpul dalam Wahdaniah-MU
Hidup dan mati bukanlah berbeza bagi ku
Karna dalam Hidup adanya kematian
Dan dalam kematian adanya Hidup abadi
Ya Rabbi..

TUHAN..
Ku benamkan segala sakit derita
Dalam nafas dzikir ku temukan penawarnya
Yang mengalirkan Kudrat dan Iradat merata
Atas Ilmu yang menyatakan Hayat bersama
Menyaksikan Wujud-MU yang menyeliputi segala-gala

TUHAN..
Aku memiliki apa yang ENGKAU inginkan
Dalam tangis, ku temukan kebahagiaan
Dalam Rindu, ku temukan kesejahteraan
Dalam Kasih, ku temukan kedamaian
Dan dalam Cinta, ku temukan ENGKAU tanpa silih
Ya Rabbil lil alamin..

TUHAN..
Malam ini aku datang lagi
Dalam sujud munajat yang tanpa henti
Menunggu ENGKAU hadir menyapa ku lagi
Seperti sebelumnya kelangsungan abadi terpatri
Sebelum ku terkurung di dalam tubuh ini
Berjalan di atas bumi sebagai hamba-MU pasti
Berbekal rahsia Rohani yang berserta di sisi

TUHAN..
Sentuhlah hati ku dalam sujud abadi
Belailah jiwa ku dalam Cinta Kasih menyeliputi
Menari asyik dalam melodi tajalli
Di atas pelangi cahaya Nur Muhammad terpuji
Menggapai cahaya Nur Allah terperi sejati
Aku bersujud munajat pada-MU ya Rabbi

TUHAN..
Ku sedut nafas MU sekalian alam
Dalam sebut Asma'-MU sirri yang dalam
ENGKAU rebahkan aku ke pangkuan
Yang setitis itu memenuhi jutaan tahun
Mengkhabarkan Cinta yang tiada terbatas
Di padang, samudera dan langit pun ringkas
Sedang pintu-MU di Baitul Qalbi
Menyimpan segala rahsia terpendam selama ini
Terpatri abadi tanpa bersilih lagi..


Bicara Munajat :
~ Sayyid Hidayatullah ~

Khamis, 25 November 2010

~ KETAHUILAH HATI QALBUN MU ~

HATI itu ibarat Sang Raja
Yang memerintah seluruh tubuh badan kita
Yang ditaati seluruh rakyat jelatanya
Sehingga tidak satu pun yang berbuat selain perintahnya Sang Raja
Apabila Ia memerintahkan nescaya yang lain akan mematuhinya
Bila HATI memerintahkan tangan menampar
Maka tangan akan mengerjakannya
Bila hati memerintah mulut berbicara
Maka mulut akan mematuhi dengan tanpa bertanya
Begitulah juga seluruh anggota yang lainnya akan patuh padanya

HATI itu juga dinamakan "Hakikat Ke-aku-an"
Iaitu aku yang merasa memiliki segala sesuatu
Aku itulah sebenarnya Hakikat Insan
Sebagai ganti nama bagi Roh bernama Qalbu
Selama mana Ia dikandung jasad tubuh mati maka adalah kehidupan ini
Jika sudah bercerai nanti, jasad mati tidak berguna lagi
Maka mereputlah bangkai yang selama ini memang asal mati, sedang mati dan kekal mati

Maka ketahui-lah HATI mu itu
Ia-lah yang akan kembali ke negeri akhirat nanti
Ia-lah yang akan bersatu kembali dengan Dzat-Nya sendiri
Jika Ia kotor, maka pastilah disucikan terlebih dahulu sebelum menyatu
Demikian dinamakan pembalasan atau siksa selepas mati azhorina
Ia-lah yang di sini menguasai dan menakluki segala makhluk-makhluk abdi
Ia-lah yang memerintah dan menakluk negara-negara besar mahu pun kecil di dunia ini
Ia-lah yang dipatuhi oleh selruh alam semesta
Kerana Ia-lah yang menjadi hikmat sehingga alam semesta ini dijadikan
Kerana Ia-lah dijadikan juga syurga neraka, suka duka yang di alami bersilih ganti
Kerana kalau tidak kerana Ia, maka segala makhluk seluruh semesta tidak dijadi

Ia-lah datangnya dari alam al-amr
Oleh kerana itu Ia akan menyatu lagi dengan Dzat-Nya sendiri nanti
Ia-lah wujud sebelum alam syahadah ini (nyata semesta)
Ia-lah dihantarkan ke alam syahadah untuk menerima uji bukan menguji
Ia-lah yang datang dari alam kejadian Tuhan yang menjadi rohani
Ia-lah yang tidak menerima binasa atau fana selama-lamanya
Ia-lah yang akan kembali ke alam akhirat
Ia-lah yang sudah mengenal Tuhan di alam Roh Al-Bani sebelum wujudnya segala wujud nyata
Ia-lah yang mengetahui segala hakikat sesuatu dengan tanggapan Ilmu-Nya
Ia-lah yang Hidup, Ber-kehendak, Kuasa, Mengetahui, Melihat, Mendengar, Berkata
Ia-lah rahsia Sifat Ma'ani yang menjadi Maknawiyah kepada jasad tubuh mati bila sebati

Ia-lah yang digelar Fitrah ALLAH yang sudah mengenali dan mengetahui Agama-Nya
Ia-lah yang tidak payah belajar atau menelaah kitab di alam Roh Al-Bani
Ia-lah yang sudah mengenali segala sesuatu sebelum sebatinya di alam syahadah (tubuh jasad)
Ia-lah yang telah dan pernah mengakui dan menyaksikan Tuhan di alam Roh Al-Bani
Ia-lah yang dimaksud di dalam Firman Tuhan di dalam Al-Quran :-

"Alastubirabbikum qolu bala syahidena."
Ertinya :~ Bukankah Aku ini Tuhan mu? Mereka menjawab, Bah kan Kami menyaksi.

Ia-lah juga dijadikan sebab mengapa diutuskan para Nabi dan Rasul di muka dunia
Ia-lah sebenarnya yang diperingatkan oleh setiap Firman Allah dan Sabda Rasul
Ia-lah yang terhijab dengan Tuhan oleh jasad mati dan hawa nafsu
Ia-lah yang di sini tersentuh kekotoran dan wajib dibersihkan kembali seperti fitrah-Nya
Ia-lah yang dimaksud di dalam Firman Tuhan di dalam Al-Quran :-

"Fitratallah hil-lati fatharan-nasa alaiha la tabadi la li-kholqil lahi dzalikaddinul qoyyim."
Ertinya :~ Dia-lah fitrah Allah yang dijadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubah-ubah pada kejadian Allah, itulah Agama yang benar."

Ia-lah yang kemudian sesudah sebati dengan akal dan hawa nafsu di alam syahadah (jasad tubuh)
Akan tersentuh dan terbahagi kepada dua iaitu taat dan ingkar
Ia yang taat itulah nanti yang dinamakan Insan Kamil
Dan Ia yang ingkar itulah nanti yang dinamakan kufur dan kafir
Ia yang taat akan tetap membersihkan Diri-Nya sebagaimana fitrah
Ia yang ingkar akan mengotorkan Diri-Nya bersalahan dengan fitrah
Ia-lah yang dihantar ke alam syahadah dengan maksud ubudiyyah
Ia-lah yang dimaksud di dalam Firman Tuhan di dalam Al-Quran :-

"Wama kholaqtul jinna wal-insa illa liya' budun."
Ertinya :~ Tidaklah Aku jadikan jin (nafsu) dan manusia (hati) melainkan supaya beribadat kepada Aku.

Maka ketahui-lah HATI mu itu
Masuklah dalam memehatikannya disetiap waktu
Kerana Ia-lah yang akan menjadi akibat dari segala perbuatan mu
Dan Ia-lah yang bertanggungjawab atas segala gerak dan diam mu
Selamatkanlah Ia dengan masuk ke dalam Gerak dan Diam ALLAH
Janganlah engkau ragu dan janganlah engkau menyekutukan lagi!!!
Janganlah engkau ragu dan janganlah engkau menyekutukan lagi!!!
Janganlah engkau ragu dan janganlah engkau menyekutukan lagi!!!
Serta jangan pula sampai lari!!!!


Petikan Sumber Dari :~ Kitab Sajaratul Makrifatuhu.
Karangan :~ Imam Sayyid Hidayatullah.

Isnin, 18 Oktober 2010

PENGENALAN ~ Makrifah, Mukasyafah, Musyahadah, Mahabbah & Muhith.

Orang yang terang pandangan mata hatinya, tidak akan pernah nampak kesalahan melainkan Haq.. Sesungguhnya Makrifatullah itu kenal, Mukasyafatullah itu amal, Musyahadatullah itu yakin, dan Mahabbatullah itu asyik.. Dan ketahuilah bahawa semuanya itu belumlah sempurna sebelum mencapai Al-Dzatti Muhithullah.. Pintu yang berlapis ini berada dalam QALBUN mu, maka bersegeralah..

MAKRIFAH itu adalah awal pengenalan pada hal perjalanan kerohanian, bukanlah puncak seperti faham kebanyakkan.. Kerana makrifah itu berada dalam firman Allah "Awaluddin Makrifatullah." Seawal Agama (Diri) itu mengenal ALLAH.. Dalam pengenalan ini, maka terdedahlah seseorang itu dengan pemahaman dan pengenalan istilah dalam Ilmu Tasawwuf itu sendiri.. Dan ini dapat dicerna oleh akal dan fikir manusia yang hakikatnya masih sangat terbatas di sisi ALLAH.. Karna di sisi adalah perihal alam angan dan budi.. Iaitu menyusun istilah kepada tubuh zahir dan batin dengan tanpa melihatnya melainkan hadir dalam rasa.. Dan rasa di sini masih sebenarnya bercampur antara rasa hati dan rasa hawa nafsu, iaitu bercampur dua rasa dalam perasaan kita.. Inilah perlambangan matahari dalam fikiran kita.. Bacalah surah As-syams, di sanalah buktinya..

MUKASYAFAH itu adalah amal kita setelah kita mengetahui kefahaman dan istilah makrifah, untuk membuka tirai hijab kita dengan ALLAH, iaitu akal dan nafsu kita yang selalu menunggangi fikiran kita dalam menebarkan kekuasaannya yang tertuju kepada duniawi atas wadah ukhrawi.. Maka amal kita itu adalah membenam nafsu, akal dan budi yang menjadi hijab penyaksian kita kepada ALLAH.. Inilah perlambangan bulan dalam jantung kita.. Bacalah surah Al-Kahfi, di sanalah buktinya..

MUSYAHADAH itu adalah penyaksian qalbu (jiwa) kita kepada ALLAH.. Iaitu bila mana ALLAH menerima amal kita dan membuka hijab nafsu, akal dan budi, maka akan kita nampak dengan jelas segala rupa sifat ALLAH yang melekat pada diri kita.. Inilah perlambangan bintang dalam hati kita.. Bacalah Al-Ikhlas, di sanalah buktinya..

MAHABBAH itu adalah cinta kita kepada ALLAH.. Yang menghujankan rasa kasih sayang dan rindu antara kita dengan ALLAH sehingga seolah-olah putus kita dari yang lain walau hakikatnya tidaklah begitu, kerana semuanya asal Esa.. Di sini ada yang menyintai dan ada yang dicintai, ertinya masih dua wujud.. Inilah perlambangan Nur dalam jiwa kita.. Bacalah surah An-Nur, di sanalah buktinya..

MUHITH itu adalah penyatuan yang tiada cerai tanggal, tanpa silang dan tanpa silih lagi.. Iaitu khalik dan makhluk hakikatnya adalah satu jua.. Inilah seperti firman Allah di dalam Hads Qudsi "Al-insanu sirri wa-anna sirruhu, di sanalah buktinya.. Maka nyatalah bahawa sirr itu bukanlah akal karna ALLAH sudah menegaskan dalam firman-NYA bahawa AKU-lah rahsia-NYA.. 

~ Sayyid Hidayatullah ~

Khamis, 14 Oktober 2010

~ PELAJARAN AL~RUMI ~


Seketika aku didatangi Jalaluddin Al-Rumi.. Dalam batin ku jugalah Ia-nya bersembunyi Diri.. Sosoknya ibarat seorang pemuda yang tampan tidak terperi.. Tuturnya lembut membelai ke dalam jiwa ku yang kasat mata maknawi..

AL-RUMI :-

“Wahai ‘Ali As-Satir, perdengarkanlah dengan telinga batin mu.. Dan leburkanlah nyanyian ku ini sehingga ke dalam jiwa rohani mu.. Ketahuilah, bahawa inilah mara bahaya yang sedang membelenggu para seniman dan pemikir di zaman mu..”

‘ALI :-

“Aku sedang mendengarnya, wahai Sang Air Hidup (Al-Rumi).. khabarkanlah..”

AL-RUMI :-

“Sesungguhnya bagi seorang seniman atau pemikir, kehalusan puisi, kelembutan dalam bait kata-kata, keindahan dalam irama melodi, dan kesempurnaan dalam menggambarkan sesuatu, adalah merupakan sebuah sarana penyampaian filsafat-nya yang dalam dan penuh dengan makna tersembunyi.. Melalui sarana itu, maka mereka akan lebih mudah meresapkan sesuatu masuk ke dalam jiwa manusia sekitarnya.. Bah kan, ianya sangat berpengaruh dalam segenap lapisan masyarakat..”

‘ALI :-

“Lalu di mana kesalahannya, wahai Sang Air Hidup (Al-Rumi)..? Khabarkanlah pada ku yang fakir ini..”

AL-RUMI :-

“Wahai ‘Ali As-Satir, perhatikanlah kata-kata ku ini.. Sesungguhnya seluruh ilmu ciptaan manusia dan hikmah yang berkiblatkan kepada Yunani dan barat, hanya akan membuatkan seseorang menjadi semakin jauh dari kebenaran Allah, serta hanya akan mengakibatkan manusia menjadi semakin bodoh, tertipu, terbelenggu, dan hanya mengagumi dirinya sendiri.. Ketahuilah bahawa itu semua hanyalah kulit yang kosong dan hampa.. Barangsiapa yang sangat mendambakan kebahagiaan hakiki, maka hendaklah dia menjauhi filsafat Yunani dan barat, walau kebanyakkan orang justeru menganggapnya sebagai hikmah.. Ini adalah kerana semua filsafat Yunani dan barat hanyalah sebuah hasil dari khayalan dan gambaran akal mereka, serta tidak memperolehi sinar cahaya DZAT MAULANA YANG MAHA AGUNG.. Hasil filsafat dari khayalan dan gambaran itu hanyalah terbit dari prasangka dan rasa keraguan, yang merupakan satu dari halangan terbesar menghalangi kedekatan manusia dengan Tuhan.. Inilah mara bahaya besar yang sedang berulang kembali menyelubungi dan membelenggu zaman mu..”

‘ALI :-

“Sangat benar perkataan mu, wahai Sang Air Hidup (Al-Rumi).. Lalu apakah saran mu pada ku dalam menjalani zaman ku ini, wahai Sang Air Hidup.. Apakah aku harus menukarkan air yang menghilangkan dahaga, dengan cahaya yang menyuluh kegelapan..?”

AL-RUMI :-

“Itulah sebabnya kenapa para Nabi diturunkan.. Kemudian disambung oleh para Waliullah.. Sehinggalah sampai ke zaman mu, dan engkaulah yang sedang memikulnya.. Iaitu menukarkan air yang menghilangkan dahaga, dengan cahaya yang menyuluh kegelapan.. Ada pun hikmah yang diajarkan para Nabi dan para Waliullah, adalah merupakan sebuah hikmah yang hakiki.. Kerana hikmah yang diajarkan itu memperolehi sinar dari DZAT MAULANA YANG MAHA AGUNG.. Siapa saja yang mendapatkannya, maka dia benar-benar memperolehi banyak kebajikan dan kesejahteraan.. Inilah yang tidak diperolehi oleh ajaran filsafat Yunani dan barat yang mendahulukan kepentingan duniawi semata-mata, serta dengan leluasa membelakangkan Tuhan.. Mereka melebarkan teori dan filsafat melalui urutan dalil pendahuluan, dan mengambil kesimpulan dengan rekaan aqli yang tidak akan pernah mencapai maksud yang diinginkan.. Maka semua filsafat mereka penuh dengan kesempitan dan keterbatasan.. Barangsiapa yang meyakininya, maka terpasunglah dia kepadanya.. Orang yang hidup dengan keyakinan seperti itu akan nampak seperti sempurna, namun hakikatnya mereka berjalan tempang, penuh kesempitan dan keterbatasan.. Bagaimana engkau melihat air yang menghilangkan dahaga itu, wahai ‘Ali As-Satir..?”

‘ALI :-

“Hakikatnya air itu bukanlah yang sebenar-benar matlamat Hidup.. Melainkan sebab lahiriah dari pencorakan kehidupan semata.. Itu masihlah termasuk zahir, yang batinnya adalah Dzat Wajibul Wujud.. Sesungguhnya orang yang terbelenggu dengan sebab lahiriah, maka dia sebenarnya telah mencampakkan dirinya sendiri kepada hal yang memperdayakan dan membinasakan..”

AL-RUMI :-

“Lihatlah cahaya yang menegak dari atas dan merata ke seluruh hamparan bumi.. Hidup yang menghidupi dalam tarian jiwa rohani.. Yang diiringi gendang dzikir kerinduan alam semesta.. Tabuhlah gendang mu dan kayuhlah sampan mu ke samudera hijau.. Lihatlah ikan-ikan yang beraneka warna dan ragam, namun janganlah engkau terpedaya dengannya.. Di tengah samudera hijau itu, engkau akan melihat cahaya permata tiram yang menyilau terang.. Gapailah, dan bawalah ke zaman mu..”

‘ALI :-

“Tunjukkanlah aku jalan ke sana, wahai Sang Air Hidup..”

Al-Rumi menarik tangan ku melintasi seluruh samudera hijau yang menyilau.. Memperlihatkan gedung Ilmu Allah yang terpasak di tengah samudera dalam.. Mengimbangi.. Al-Rumi terus memberikan palajaran..

“Renangilah ke seluruh samudera hijau
Dalam damai sejahtera tarian asyik
Diiringi gendang irama syahdu
Yang menggunung pun akan rebah
Saat terpanggil panggilan Kaabah..”


~ Sayyid Hidayatullah ~

Selasa, 12 Oktober 2010

~ RAGA USUL ~

BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM..

Persembahan ini persembahan Hamba
Dari yang memberi kesampaian Jiwa
Walau pun dhaif yang tiada terupa
Hamba dan Khaliq hakikatnya sama

Tiada bayang di dalam syarah
Tiada umpama di dalam tanah
Jikalau ingin menjadi Allah
Akal dan fikir jangan mentelah

Inilah si Kitab Sepuh Merah
Dari Tirakat Hakikiah Al-Batiniah
Wujud awalnya sebagai isyarah
Di karang dalam kitab Haq Allah

Hamba-lah Sayyid Hidayatullah
Hina dan dhaif, karam dan pasrah
Tiada nyata melainkan Allah
Tiada bersilih, tiada berpisah

Hamba wujudnya di negeri rantauan
Di sebuah desa di Perak Selatan
Ayah dan Bonda asalnya berjalan
Dari negeri bernama Kelantan

Dalam musafir mencari pembimbing
Satu persatu Sang Guru di saring
Akhir bertemu Sang Mursyid hening
Anwar Makmun Al-Mukmin di damping

Puas merantau di alam raya
Tiba-lah saat berlayar ke samudera
Sepuh dari Syeikh Hassan pun tiba
Syeikh Siti Jenar jua menurunkan rahsia

Maka ini-lah kitab ku maujud
Agar mencapai sekalian maksud
Ini-lah rahsia hidup yang syuhud
Pangkal fahaman Wahdatul Wujud


~ Sayyid Hidayatullah ~


Ahad, 10 Oktober 2010

~ SULUH ~


Karam aku dalam abdi yang bukan abdi
Sehingga habis segala nafi yang bukan lagi nafi
Isbat ku hadir tanpa silih tanpa pilih
Daim ku diam dalam gaulan suci dan bersih
Mana benar dan mana salah
Semua dalam gumpalan rindu pasrah
Tiada lagi tersentuh resah dan gelisah
Itulah tanda berada dalam kaabah

Kalau-lah bisa aku khabarkan
Kepada semua penjulang hairan
Pastilah gila aku digelarkan
Sangatlah murka para cendiakawan
Lalu aku putuskan diam
Menyatakan dalam ghaib adam
Muhammad-lah asal segala ragam
Dzat dan sifat tiadalah kelam

Basahkanlah tanah hati mu
Dengan air mata di sisi Tuhan
Jangan kau berjalan dengan kesombongan
Kerana engkau di tanah kerendahan
Pada pintu 4 keramat jalan
Jangan engkau terbawa angan
Musnahkan dulu si Mayat Insan
Baru kau temu wajah Sang Tuhan.


~ Sayyid Hidayatullah (Anak Jawi)~